Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) merupakan antara salah satu bahagian yang memainkan peranan
penting di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Ianya bertanggungjawab sebagai sebuah organisasi yang mengawal selia semua
program pembangunan akademik dan fizikal Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) dan juga merupakan satu entiti
yang peranannya setaraf dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). BPM menjadi struktur organisasi
birokrasi berpusat yang terbesar di antara bahagian-bahagian lain di dalam MARA,
ia mengandungi 48 buat MRSM, 3 050 guru, 1 680 staff sokongan dan 20 265 orang pelajar. Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di BPM
dibahagikan kepada tiga aktiviti/ cawangan utama iatu Cawangan Kurikulum,
Cawangan Pengurusan dan Perkhidmatan serta Cawangan Hal Ehwal Pelajar.
Justeru itu Mara menawarkan perkhidmatan pendidikan
alternatif melalui Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM),
sistem pendidikan SPMRSM yang berlandaskan empat komponen utama iaitu
pembangunan kurikulum, pembangunan kokurikulum, pembangunan pelajar dan
perkhidmatan pendidikan. Kurikulum MRSM adalah suatu siri program pendidikan
kurikulum asas dan kurikulum terbeza yang menekankan kepada aspek intelek,
kemahiran dan pengalaman. Kurikulum dan Kokurikulum asas merupakan kurikulum
dan kokurikulum sedia ada dalam sistem pendidikan kebangsaan, manakala kurikulum
terbeza adalah dari segi pertambahan program-program sedia ada seperti
Kemahiran Asas Tingkatan 1 (KAT 1),
Ulul Albab, School Enrichment Model (SEM),
Mara Intensive Gifted and Talented Youth (MIGTY)
dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dari Universiti Cambridge.
MARA melalui Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) telah bertindak sebagai agen
pemboleh ubah dari sistem pendidikan
sedia ada dan menjadi satu organisasi yang formal. Menurut Harling (1989), setiap organisasi ada kuasa yang formal dan badan rasmi,
peraturan dan undang-undang yang membantu untuk mencapai matlamat. Matlamat Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) adalah menjadikan Sistem Pendidikan
MRSM (SPMRSM) sebagai satu institusi
untuk mendidik bakal-bakal saintis profesional yang bertaraf Nobel Laureate, usahawan teknologi dan
pemimpin dalam pelbagai bidang, serta mempunyai personaliti terpuji iaitu
berakhlak mulia, cemerlang, serta berdaya saing pada peringkat global (Global, Cemerlang dan Kompetitif).
Sebagai sebuah institusi pendidikan alternatif, SPMRSM melalui BPM mestilah berupaya
mengekalkan dan meningkatkan daya saing bagi memastikan ia terus menjadi
pilihan utama ibu bapa di Malaysia. Sehubungan dengan itu , BPM mempunyai
peranan sebagai kuasa eksekutif formal menjadikan SPMRSM sentiasa berkualiti mencapai hasrat wawasan 2020.
Aspek Kawalan Pengurusan
sistem pendidikan di MARA amat berbeza
dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM),
Pengarah BPM diberi mandat dan peranan
yang amat besar bagi merealisasikan matlamat organisasi untuk menjadikan Sistem
Pendidikan MRSM (SPMRSM) sebagai trendsetter kepada arus sistem
pendidikan sedia ada. Pengarah dan ahli-ahli pengurusan BPM bertindak menguruskan
perancangan dasar-dasar pendidikan MARA yang sedia ada dan sentiasa peka kepada
faktor-faktor perubahan sekeliling berkaitan pembangunan pendidikan, urusan
pengambilan dan penempatan guru, urusan pengambilan dan penempatan pelajar,
urusan pembangunan fizikal MRSM, urusan pemantaun MRSM dan semuanya ini
membentuk beberapa urusan formalisasi dalam pengurusan BPM. Unsur formalisasi di
Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) boleh diterjemahkan seperti berikut; Pertama, struktur kawalan hierarki yang
bertujuan menurunkan kuasa dan autoriti dari pihak pengurusan MARA, BPM kepada
pengetua, guru-guru serta warga MRSM. Kedua, setiap jawatan di pengurusan BPM mempunyai tugas, peranan dan tanggungjawab
yang telah ditentukan. Ketiga,
kesatuan prosedur peraturan, undang-undang dan tata cara kerja yang khas untuk
mengawal tindakan dan pergerakan warga kerja BPM yang bertujuan menyelaras
pengurusan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM).
Keempat, sistem penilaian prestasi
dalam kalangan warga BPM menerusi ganjaran atau kenaikan pangkat berdasarkan
kemahiran dan prestasi kerja.
Dengan sokongan padu daripada pengurusan atasan MARA (stakeholder) dan seluruh warga MRSM,
pelbagai pendekatan baru dapat dilaksanakan untuk memastikan MRSM sentiasa
unggul berbanding dengan pesaing-pesaingnya. Ini dapat dicapai melalui amalan-amalan
seperti TQM (Pengurusan Kualiti
Menyeluruh) dan piawaian antarabangsa (ISO)
agar pencapaian MRSM berada pada taraf dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Sesungguhnya MRSM melalui BPM sebagai kuasa kawalan formal telah dan akan
sentiasa menghasilkan produk dan perkhidmatan yang diiktiraf melalui amalan Key Performance Indicator (KPI).
Antara perkara yang menjadi indikator BPM terhadap Kepimpinan Pendidikan
(Instructional Leadership). Pertama; Perancangan Strategik yang
mantap, fleksibel dan bersifat futuristik sesuai dengan tuntutan stake holder, ibu bapa, pelajar dan
masyarakat bagi mencapai matlamat SPMRSM. Untuk itu kepimpinan BPM sentiasa
bersikap proaktif dan inovatif dalam mengatur perancangan dan tindakan agar
sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang. Kedua; Pengurusan ilmu telah dapat dilaksanakan secara berkesan,
berkualiti dan terkini melalui proses pengurusan, pengekalan dan perkongsian
ilmu yang diwujudkan melalui penyediaan penulisan/ rekod program, penulisan
pengalaman oleh pakar dan pelaksana, sesi seminar/ bengkel, proses
penandaarasan (benchmarking) dan
Persidangan Bitara Nasional (PERBINA).
Ketiga; Penandaarasan (benchmarking) adalah satu proses yang
sistematik dan berterusan untuk mencari, mempelajari, mengadaptasi dan
melaksana amalan-amalan terbaik daripada organisasi yang sama atau daripada
organisasi lain ke arah pencapaian prestasi unggul. Keempat; Standard Pendidikan MARA (SPMa) adalah satu set petunjuk pematuhan standard kualiti
pengurusan dan kepimpinan pendidikan MARA yang telah ditetapkan untuk dijadikan
pengukur perbandingan berasaskan skor
dalam usaha meningkatkan dan membuat penambahbaikan berterusan. Kelima; Pengurusan Kualiti
Menyeluruh (TQM) merupakan satu bentuk pengurusan kualiti yang membantu BPM
menghadapi persekitaran yang berubah. Melalui TQM BPM dapat meningkatkan
kecemerlangan dan keberkesanan dengan mengamalkan konsep penambahbaikan
berterusan, betul pada kali pertama dan kecacatan sifar. Dalam Sistem
Pendidikan MRSM (SPMRSM), TQM telah
diamalkan pada semua peringkat dan program pengurusan. Keenam; International
Organization of Standardization (ISO)
merupakan usaha menjadikan institusi pendidikan SPMRSM diiktiraf sebagai institusi
terbilang di dalam negara dan terkenal di peringkat antarabangsa. Ketujuh; Pelan penggantian merupakan
satu perancangan menggunakan kaedah yang sistematik dalam mengenal pasti,
menilai dan membangunkan keupayaan pegawai bagi memenuhi keperluan organisasi
pada masa kini dan akan datang. Kelapan;
Pengurusan Perubahan (Change Management)
merupakan proses mengupayakan organisasi dan individu untuk bertanggungjawab
terhadap masa depan yang lebih baik. Dalam proses ini, BPM sebagai kuasa
kawalan pengurusan formal dan SPMRSM sebagai bahagian menerima kawalan akan
melalui peringkat penerimaan perubahan, sedar, faham dan bersedia untuk
bersetuju menerima perubahan yang akan berlaku. Kesembilan; Pembentangan laporan dan perancangan tahunan maktab
diadakan bertujuan untuk memantau pelaksanaan pengurusan pentadbiran dan
program-program di SPMRSM. Pengetua dikehendaki hadir membentangkan laporan dan
perancangan tahunan maktab di Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) mengikut jadual yang telah
ditetapkan.
Dalam mentadbir perjalanan sesebuah organisasi sosial
berkaitan sistem pengurusan pendidikan, banyak pertimbangan yang perlu diambil
kira. Sekiranya pertimbangan ini diketepikan maka akan wujudlah konflik yang
akhirnya akan melemahkan struktur pentadbiran organisasi itu sendiri. Menurut Markoczy dan Xin (2004), sesebuah organisasi tidak boleh berjaya jika ahli-ahlinya
tidak mengamalkan semangat kewarganegaraan yang baik dan melaksanakan segala
gelagat organisasi yang positif. Justeru sistem organisasi formal di dalam sistem pengurusan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) mampu mencapai visi, misi dan matlamat penubuhan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) didalam menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara.