Thursday, 2 May 2013

BAGAIMANA ANDA MENGUKUR PERBELANJAAN YANG TELAH DIBERIKAN OLEH MARA KEPADA PELAJAR-PELAJAR MRSM ? ADAKAH PERBELANJAAN YANG DIBERIKAN ITU TELAH DAPAT MENGHASILKAN KUALITI PENDIDIKAN YANG TINGGI KEPADA NEGARA ?


 
 
Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) merupakan antara salah satu bahagian yang memainkan peranan penting di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Ianya bertanggungjawab sebagai sebuah organisasi yang mengawal selia semua program pembangunan akademik dan fizikal Maktab Rendah Sains Mara(MRSM) dan juga merupakan satu entiti yang peranannya setaraf dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). BPM menjadi struktur organisasi birokrasi berpusat yang terbesar di antara bahagian-bahagian lain di dalam MARA, ia mengandungi 48 buat MRSM, 3 050 guru, 1 680 staff sokongan dan      20 265 orang pelajar.   Pelaksanaan tugas dan tanggungjawab di BPM dibahagikan kepada tiga aktiviti/ cawangan utama iatu Cawangan Kurikulum, Cawangan Pengurusan dan Perkhidmatan serta Cawangan Hal Ehwal Pelajar.

 Justeru itu Mara menawarkan perkhidmatan pendidikan alternatif melalui Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM), sistem pendidikan SPMRSM yang berlandaskan empat komponen utama iaitu pembangunan kurikulum, pembangunan kokurikulum, pembangunan pelajar dan perkhidmatan pendidikan. Kurikulum MRSM adalah suatu siri program pendidikan kurikulum asas dan kurikulum terbeza yang menekankan kepada aspek intelek, kemahiran dan pengalaman. Kurikulum dan Kokurikulum asas merupakan kurikulum dan kokurikulum sedia ada dalam sistem pendidikan kebangsaan, manakala kurikulum terbeza adalah dari segi pertambahan program-program sedia ada seperti Kemahiran Asas Tingkatan 1 (KAT 1), Ulul Albab, School Enrichment Model (SEM), Mara Intensive Gifted and Talented Youth (MIGTY) dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) dari Universiti Cambridge.

 MARA melalui  Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) telah bertindak sebagai agen pemboleh ubah dari sistem pendidikan  sedia ada dan menjadi satu organisasi yang formal. Menurut Harling (1989), setiap organisasi ada kuasa yang formal dan badan rasmi, peraturan dan undang-undang yang membantu untuk mencapai matlamat.  Matlamat Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) adalah menjadikan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) sebagai satu institusi untuk mendidik bakal-bakal saintis profesional yang bertaraf Nobel Laureate, usahawan teknologi dan pemimpin dalam pelbagai bidang, serta mempunyai personaliti terpuji iaitu berakhlak mulia, cemerlang, serta berdaya saing pada peringkat global (Global, Cemerlang dan Kompetitif).  

 Sebagai sebuah institusi pendidikan alternatif, SPMRSM melalui BPM mestilah berupaya mengekalkan dan meningkatkan daya saing bagi memastikan ia terus menjadi pilihan utama ibu bapa di Malaysia. Sehubungan dengan itu , BPM mempunyai peranan sebagai kuasa eksekutif formal menjadikan SPMRSM sentiasa berkualiti mencapai hasrat wawasan 2020.

 Aspek Kawalan Pengurusan sistem  pendidikan di MARA amat berbeza dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Pengarah BPM diberi mandat dan  peranan yang amat besar bagi merealisasikan matlamat organisasi untuk menjadikan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) sebagai trendsetter kepada arus sistem pendidikan sedia ada. Pengarah dan ahli-ahli pengurusan BPM bertindak menguruskan perancangan dasar-dasar pendidikan MARA yang sedia ada dan sentiasa peka kepada faktor-faktor perubahan sekeliling berkaitan pembangunan pendidikan, urusan pengambilan dan penempatan guru, urusan pengambilan dan penempatan pelajar, urusan pembangunan fizikal MRSM, urusan pemantaun MRSM dan semuanya ini membentuk beberapa urusan formalisasi dalam pengurusan BPM. Unsur formalisasi di Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) boleh diterjemahkan seperti berikut; Pertama, struktur kawalan hierarki yang bertujuan menurunkan kuasa dan autoriti dari pihak pengurusan MARA, BPM kepada pengetua,  guru-guru serta warga MRSM. Kedua, setiap jawatan di pengurusan  BPM mempunyai tugas, peranan dan tanggungjawab yang telah ditentukan. Ketiga, kesatuan prosedur peraturan, undang-undang dan tata cara kerja yang khas untuk mengawal tindakan dan pergerakan warga kerja BPM yang bertujuan menyelaras pengurusan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM). Keempat, sistem penilaian prestasi dalam kalangan warga BPM menerusi ganjaran atau kenaikan pangkat berdasarkan kemahiran dan prestasi kerja.

Dengan sokongan padu daripada pengurusan atasan MARA (stakeholder) dan seluruh warga MRSM, pelbagai pendekatan baru dapat dilaksanakan untuk memastikan MRSM sentiasa unggul berbanding dengan pesaing-pesaingnya. Ini dapat dicapai melalui amalan-amalan seperti TQM (Pengurusan Kualiti Menyeluruh) dan piawaian antarabangsa (ISO) agar pencapaian MRSM berada pada taraf dunia dan mendapat pengiktirafan antarabangsa. Sesungguhnya MRSM melalui BPM sebagai kuasa kawalan formal telah dan akan sentiasa menghasilkan produk dan perkhidmatan yang diiktiraf melalui amalan Key Performance Indicator (KPI).  

 Antara perkara yang menjadi  indikator BPM terhadap Kepimpinan Pendidikan (Instructional Leadership). Pertama; Perancangan Strategik yang mantap, fleksibel dan bersifat futuristik sesuai dengan tuntutan stake holder, ibu bapa, pelajar dan masyarakat bagi mencapai matlamat SPMRSM. Untuk itu kepimpinan BPM sentiasa bersikap proaktif dan inovatif dalam mengatur perancangan dan tindakan agar sesuai dengan keperluan semasa dan akan datang. Kedua; Pengurusan ilmu telah dapat dilaksanakan secara berkesan, berkualiti dan terkini melalui proses pengurusan, pengekalan dan perkongsian ilmu yang diwujudkan melalui penyediaan penulisan/ rekod program, penulisan pengalaman oleh pakar dan pelaksana, sesi seminar/ bengkel, proses penandaarasan (benchmarking) dan Persidangan Bitara Nasional (PERBINA). Ketiga; Penandaarasan (benchmarking) adalah satu proses yang sistematik dan berterusan untuk mencari, mempelajari, mengadaptasi dan melaksana amalan-amalan terbaik daripada organisasi yang sama atau daripada organisasi lain ke arah pencapaian prestasi unggul. Keempat; Standard Pendidikan MARA (SPMa) adalah satu set petunjuk pematuhan standard kualiti pengurusan dan kepimpinan pendidikan MARA yang telah ditetapkan untuk dijadikan pengukur perbandingan berasaskan  skor dalam usaha meningkatkan dan membuat penambahbaikan berterusan. Kelima; Pengurusan Kualiti Menyeluruh  (TQM) merupakan satu bentuk pengurusan kualiti yang membantu BPM menghadapi persekitaran yang berubah. Melalui TQM BPM dapat meningkatkan kecemerlangan dan keberkesanan dengan mengamalkan konsep penambahbaikan berterusan, betul pada kali pertama dan kecacatan sifar. Dalam Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM), TQM telah diamalkan pada semua peringkat dan program pengurusan. Keenam; International Organization of Standardization (ISO) merupakan usaha menjadikan institusi pendidikan SPMRSM diiktiraf sebagai institusi terbilang di dalam negara dan terkenal di peringkat antarabangsa. Ketujuh; Pelan penggantian merupakan satu perancangan menggunakan kaedah yang sistematik dalam mengenal pasti, menilai dan membangunkan keupayaan pegawai bagi memenuhi keperluan organisasi pada masa kini dan akan datang. Kelapan; Pengurusan Perubahan (Change Management) merupakan proses mengupayakan organisasi dan individu untuk bertanggungjawab terhadap masa depan yang lebih baik. Dalam proses ini, BPM sebagai kuasa kawalan pengurusan formal dan SPMRSM sebagai bahagian menerima kawalan akan melalui peringkat penerimaan perubahan, sedar, faham dan bersedia untuk bersetuju menerima perubahan yang akan berlaku. Kesembilan; Pembentangan laporan dan perancangan tahunan maktab diadakan bertujuan untuk memantau pelaksanaan pengurusan pentadbiran dan program-program di SPMRSM. Pengetua dikehendaki hadir membentangkan laporan dan perancangan tahunan maktab di Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) mengikut jadual yang telah ditetapkan.

 Dalam mentadbir perjalanan sesebuah organisasi sosial berkaitan sistem pengurusan pendidikan, banyak pertimbangan yang perlu diambil kira. Sekiranya pertimbangan ini diketepikan maka akan wujudlah konflik yang akhirnya akan melemahkan struktur pentadbiran organisasi itu sendiri. Menurut Markoczy dan Xin (2004), sesebuah organisasi tidak boleh berjaya jika ahli-ahlinya tidak mengamalkan semangat kewarganegaraan yang baik dan melaksanakan segala gelagat organisasi yang positif.  Justeru sistem organisasi formal di dalam sistem pengurusan Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) mampu mencapai visi, misi dan matlamat penubuhan Sistem Pendidikan MRSM (SPMRSM) didalam menghasilkan kualiti pendidikan yang tinggi kepada negara.
 
 


 

No comments:

Post a Comment