Pengetua ialah individu yang bertanggungjawab
dalam melaksanakan proses tindakan, menentukan matlamat dan proses menggerakkan
anggota bagi memastikan operasi harian di sekolah dapat berjalan dengan lancar
dan berkesan (Azlin, 2004). Pengetua ialah orang yang penting yang memimpin dan
mengurus sekolah bagi mencapai matlamat sekolah. Sebagai ketua yang dilantik
secara formal oleh pihak berkuasa dan sah dari segi undang-undang dalam
organisasi sekolah, pengetua diberikan kuasa dan kedudukan yang istimewa bagi
menentukan perjalanan sekolah sewajarnya. Pengetua diharapkan dapat menjalankan
ketiga-tiga bidang tugas sekali gus iaitu mengurus, memimpin dan mentadbir
(Hussein, 1993).
Sebagai pemimpin, pengetua menjadi individu
paling penting dan berpengaruh di dalam sesebuah sekolah. Beliau ialah orang yang bertanggungjawab
terhadap semua aktiviti yang berlaku di sekolah. Beliau juga ialah pakar runding,
penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di
sekolah dan perlu juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti
profesional guru dan pelajar dan jangan hanya bekerja semata-mata sebagai
pengurus dan pentadbir yang berkurung di biliknya mengeluarkan arahan dan
surat-surat siaran (Hussein, 1993). Pengetua harus boleh bekerja dengan stafnya
khasnya guru-guru dan orang lain. Beliau mesti berupaya mewujudkan semangat
kerja sepasukan yang menggalakkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kuat
di sekolah. Tahap kepimpinan pengajaran yang ditampilkan menjadi kayu ukur
kepada pencapaian sekolah dalam bidang akademik.
Justeru, pengetua yang
mengamalkan kepimpinan pengajaran yang berkesan akan mencetuskan sesuatu yang
positif dalam diri guru-guru dan begitu juga sebaliknya. Sekolah sebagai satu
sistem sosial terbuka dan juga satu entiti dipertanggungjawabkan untuk mencapai
matlamat hasilan pembelajaran yang memberangsangkan dalam kalangan
murid-muridnya. Hal ini semua bertitik tolak daripada bagaimana pengetua melaksanakan
dan mencapai tahap kepimpinan pengajaran yang mampu menjadi medium utama bagi
memastikan setiap pelajar boleh belajar dan berjaya. Kepemimpinan pengajaran
pengetua adalah sangat penting kerana kepemimpinan bercorak ini dapat menghasilkan
pengajaran dan pembelajaran berkesan di kalangan guru dan pelajar yang dapat
menghasilkan prestasi akademik yang cemerlang (Weber, 1971; Brookover, et al.
1979; Hallinger dan Murphy 1985; Wiebes, 1991; Hallinger dan Heck, 1996;
Johnson, et al. 2000 ). Ini bermaksud bahawa pengetua berperanan sebagai
kepemimpinan pengajaran dapat mempengaruhi para guru mengamalkan pengajaran
berkesan di bilik darjah. Hanya dengan pengajaran yang berkesan di bilik darjah
pembelajaran di kalangan para pelajar akan berlaku secara berkesan ( Abdul
Shukur, 2000; Rowe, et al.1995 dan van der Werf, 1997 ).
Pengetua perlu memainkan peranan yang signifikan
dalam mempengaruhi komitmen dan kepuasan kerja guru ke arah mewujudkan sekolah
yang berkesan. Mengambil kira kepentingan peranan ini kepemimpinan pengajaran
pengetua perlulah berperanan secara berkesan.
Peranan kepemimpinan pengajaran pengetua seperti
mengajar, menyelia pengajaran-pengajaran dan mengadakan program perkembangan
staf tidak begitu diambil berat oleh pengetua walaupun jelas dinyatakan dalam
huraian tugas mereka. Mereka lebih memberi tumpuan kepada peranan sebagai
pemimpin pentadbiran. Mengikut Shahril (2000) peranan sebagai pemimpin
pentadbiran semata-mata sudah tidak lagi sesuai untuk mencapai matlamat
pendidikan semasa serta menangani cabaran dan harapan pada masa hadapan.
Mengikut Shahril (2000) lagi, Jika situasi ini
berlaku matlamat untuk mewujudkan sekolah berkesan tidak akan menjadi kenyataan
kerana kebanyakan penulis dalam bidang pendidikan turut mengakui bahawa
sebahagian besar pengetua yang berjaya mewujudkan sekolah berkesan berperanan
sebagai pemimpin pengajaran.
Mengikut Nanus (1992),
kepemimpinan ialah enjin yang lebih bertenaga memandu sesebuah organisasi ke
arah kecemerlangan dan kejayaan jangka panjang yang lebih menarik. Manakala
mengikut Ogawa dan Bossert (1995) kepemimpinan berfungsi untuk mencapai kejayaan
organisasi dengan menpengaruhi minda dan gelagat orang yang berada di dalam
organisasi tersebut.
Sementara itu para sarjana tempatan, Abdullah dan
Ainon (1997), menyatakan bahawa kepemimpinan ialah sejenis tingkah laku
bertujuan untuk mempengaruhi orang lain supaya mereka sanggup dan secara
sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh orang yang memimpin. Para pemimpin
ialah orang yang mempunyai keupayaan menolong orang lain supaya patuh dengan
secara rela hati, iaitu tanpa tekanan dan paksaan. Menurut Robiah (1988),
kepemimpinan ialah mengenai usaha untuk membimbing tenaga di dalam sesuatu
kumpulan. Ia berfungsi sebagai asas tindakan di kalangan anggota-anggota
membimbing kegiatan mereka dan mempengaruhinya bagi memenuhi matlamat tertentu.
Wan Mohd Zahid (1993), menyatakan bahawa kepemimpinan adalah kebolehan untuk
mendorong manusia berusaha dengan penuh keghairahan bagi mencapai matlamat yang
telah dikenal pasti. Zaidatol Akmaliah (1993), berpendapat bahawa kepemimpinan
merupakan satu proses mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu yang
dikehendaki.
Kepemimpinan ialah kemampuan mempengaruhi minda
dan gelagat anggota organisasi untuk mencapai tujuan organisasi melalui
struktur dan prosedur baru. Pada kebiasaannya seseorang pemimpin menggunakan
hanya teknik pengaruh yang tidak ada unsur paksa. Penggunaan pengaruh tanpa
unsur paksaan ini membawa kepada hubungan yang positif di antara pemimpin dan
pengikut. Ini bermakna bahawa subordinat menerima pengaruh daripada pemimpin
kerana mereka menghormati, menyukai atau mengagungi pemimpin tersebut.
Konsep pemimpin atau pemimpin pendidikan yang
digunakan dalam penyelidikan ini ialah proses menolong atau mengarah kumpulan
untuk mencapai matlamat dan objektif khasnya sekolah. Ia juga merupakan
aktiviti, inisiatif atau prosedur untuk menyelesaikan masalah kumpulan dan
ahlinya. Seseorang pemimpin yang mempunyai status dan kedudukan rasmi mesti
mempunyai minat dan hasrat untuk memimpin kumpulannya. Begitu juga pengetua
sebagai pemimpin sekolah mesti mempunyai minat, visi dan matlamat bagi memimpin
guru-guru untuk mencapai matlamat sekolah dan negara.
Rallis dan Highsmith (1986) telah menyatakan
bahawa kepemimpinan pengajaran ialah kepemimpinan yang berwawasan dan berdaya
maju. Mereka telah mengariskan fungsi kepemimpinan pengajaran sebagai:
(i) model yang berperanan bagi menjana visi dan idea kepada tindakan
(ii) pemimpin yang meransang guru-gurunya untuk mencapai kecemerlangan
(iii) pemimpin yang membantu guru-guru menjadi pembuat keputusan yang
bijak (mengenal pasti dan menyelesaikan masalah) dan memberi tunjuk ajar dalam
hal-hal pengajaran.
(iv) menggunakan sumber dan mengenal pasti sumber yang ada dan
menggunakannya dengan secara efektif.
(v) meningkatkan iklim sekolah dan mengekalkan kemudahan serta memajukan
proses pengajaran, dan
(vi) memeta dan mewujudkan struktur organisasi dan mekanisme untuk
memajukan pengajaran dikalangan guru.
Manakala Reitzug dan Cross (1993) telah
membincangkan amalan kepemimpinan pengajaran iaitu menggalakkan guru
menyuarakan pendapat tentang kesulitan-kesulitan semasa pengajaran, sebagai
fasilitator dalam menyelesaikan kesulitan-kesulitan tersebut dan memberi
penghargaan kepada para guru.
National Association of Secondary School
Principal (NASSP) telah menyenaraikan ciri-ciri kepemimpinan pengajaran yang
berkesan dalam “Handbook on Effective Instructional Leadership”. Ciri-ciri
tersebut adalah seperti berikut:
(i) berkeyakinan dan menaruh sepenuh kepercayaan serta pengharapan yang
tinggi terhadap para guru dan kakitangan sekolah
(ii) menghabiskan sebahagian besar waktu kerja bersama guru-guru
berbincang, membantu dan mendorong mereka bagi memajukan program pembelajaran
dan pengajaran
(iii) berusaha mengesan dan mengenal pasti masalah-masalah dalam proses
pengajaran dan pembelajaran, dan
(iv) terlibat secara langsung bagi mempastikan iklim serta budaya sekolah
dapat mempengaruhi guru ke arah mencapai matlamat sekolah yang telah
ditetapkan.
Justeru itu, sebagai
pemimpin sekolah tanpa perlu menggunakan kuasa dan kedudukan. Pengetua perlu
mempunyai wawasan yang jauh didalam membangunkan kecemerlangan sekolah. Wawasan adalah impian dalam tindakan (a
dream in action). Wawasan pengetua atau tidak dapat direalitikan
tanpa penglibatan komuniti sekolah secara menyeluruh. Stolp (1999) “A vision
for creating a healthy school culture should be a collaborative activity
among students, parents, staff, and the principals” (dalam ERIC Digest, Number
91). Agar perkongsian wawasan menjadi satu kenyataan, maka pengetua haruslah mempunyai wawasan yang baik. Secara amnya, wawasan yang baik harus mempunyai
ciri-ciri berikut:
(1) Digerakkan oleh pemimpin (Leader Initiated) dan ini menuntut
pengetua dan guru besar mempunyai kualiti
kepemimpinan yang berkesan.
(2) Dikongsi dan disokong (Shared & Supported) iaitu mewujudkan
pasukan sokongan dan komuniti berwawasan.
(3) Komprehensif dan terperinci (Comprehensive & Detail) iaitu
tahu dan faham secara mendalam apa dan bagaimana
wawasan tersebut hendak dicapai.
(4) Positif dan memberi dorongan (Positive & Inspiring) iaitu
impian yang dapat merangsang dan memberi
keyakinan kepada orang lain untuk turut serta mencapai wawasan.
Pengetua yang berkesan
sentiasa berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu kepimpinan
kerana sekolah sebagai suatu sistem sosial terbuka terdedah kepada pelbagai
pengaruh. Kepimpinan berkesan akan memastikan sekolah mencapai matlamatnya.
Kesannya, pelbagai perubahan positif dan menggalakkan akan berlaku di sekolah.




