Wednesday, 20 March 2013

BAGAIMANA PENGETUA MEMIMPIN GURU-GURU TANPA MENGGUNAKAN KUASA DAN KEDUDUKAN

Pengetua ialah individu yang bertanggungjawab dalam melaksanakan proses tindakan, menentukan matlamat dan proses menggerakkan anggota bagi memastikan operasi harian di sekolah dapat berjalan dengan lancar dan berkesan (Azlin, 2004). Pengetua ialah orang yang penting yang memimpin dan mengurus sekolah bagi mencapai matlamat sekolah. Sebagai ketua yang dilantik secara formal oleh pihak berkuasa dan sah dari segi undang-undang dalam organisasi sekolah, pengetua diberikan kuasa dan kedudukan yang istimewa bagi menentukan perjalanan sekolah sewajarnya. Pengetua diharapkan dapat menjalankan ketiga-tiga bidang tugas sekali gus iaitu mengurus, memimpin dan mentadbir (Hussein, 1993).

Sebagai pemimpin, pengetua menjadi individu paling penting dan berpengaruh di dalam sesebuah sekolah. Beliau ialah orang yang bertanggungjawab terhadap semua aktiviti yang berlaku di sekolah. Beliau juga ialah pakar runding, penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan perlu juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar dan jangan hanya bekerja semata-mata sebagai pengurus dan pentadbir yang berkurung di biliknya mengeluarkan arahan dan surat-surat siaran (Hussein, 1993). Pengetua harus boleh bekerja dengan stafnya khasnya guru-guru dan orang lain. Beliau mesti berupaya mewujudkan semangat kerja sepasukan yang menggalakkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kuat di sekolah. Tahap kepimpinan pengajaran yang ditampilkan menjadi kayu ukur kepada pencapaian sekolah dalam bidang akademik.

            Justeru, pengetua yang mengamalkan kepimpinan pengajaran yang berkesan akan mencetuskan sesuatu yang positif dalam diri guru-guru dan begitu juga sebaliknya. Sekolah sebagai satu sistem sosial terbuka dan juga satu entiti dipertanggungjawabkan untuk mencapai matlamat hasilan pembelajaran yang memberangsangkan dalam kalangan murid-muridnya. Hal ini semua bertitik tolak daripada bagaimana pengetua melaksanakan dan mencapai tahap kepimpinan pengajaran yang mampu menjadi medium utama bagi memastikan setiap pelajar boleh belajar dan berjaya. Kepemimpinan pengajaran pengetua adalah sangat penting kerana kepemimpinan bercorak ini dapat menghasilkan pengajaran dan pembelajaran berkesan di kalangan guru dan pelajar yang dapat menghasilkan prestasi akademik yang cemerlang (Weber, 1971; Brookover, et al. 1979; Hallinger dan Murphy 1985; Wiebes, 1991; Hallinger dan Heck, 1996; Johnson, et al. 2000 ). Ini bermaksud bahawa pengetua berperanan sebagai kepemimpinan pengajaran dapat mempengaruhi para guru mengamalkan pengajaran berkesan di bilik darjah. Hanya dengan pengajaran yang berkesan di bilik darjah pembelajaran di kalangan para pelajar akan berlaku secara berkesan ( Abdul Shukur, 2000; Rowe, et al.1995 dan van der Werf, 1997 ).

Pengetua perlu memainkan peranan yang signifikan dalam mempengaruhi komitmen dan kepuasan kerja guru ke arah mewujudkan sekolah yang berkesan. Mengambil kira kepentingan peranan ini kepemimpinan pengajaran pengetua perlulah berperanan secara berkesan.

Peranan kepemimpinan pengajaran pengetua seperti mengajar, menyelia pengajaran-pengajaran dan mengadakan program perkembangan staf tidak begitu diambil berat oleh pengetua walaupun jelas dinyatakan dalam huraian tugas mereka. Mereka lebih memberi tumpuan kepada peranan sebagai pemimpin pentadbiran. Mengikut Shahril (2000) peranan sebagai pemimpin pentadbiran semata-mata sudah tidak lagi sesuai untuk mencapai matlamat pendidikan semasa serta menangani cabaran dan harapan pada masa hadapan.

Mengikut Shahril (2000) lagi, Jika situasi ini berlaku matlamat untuk mewujudkan sekolah berkesan tidak akan menjadi kenyataan kerana kebanyakan penulis dalam bidang pendidikan turut mengakui bahawa sebahagian besar pengetua yang berjaya mewujudkan sekolah berkesan berperanan sebagai pemimpin pengajaran.

            Mengikut Nanus (1992), kepemimpinan ialah enjin yang lebih bertenaga memandu sesebuah organisasi ke arah kecemerlangan dan kejayaan jangka panjang yang lebih menarik. Manakala mengikut Ogawa dan Bossert (1995) kepemimpinan berfungsi untuk mencapai kejayaan organisasi dengan menpengaruhi minda dan gelagat orang yang berada di dalam organisasi tersebut.

Sementara itu para sarjana tempatan, Abdullah dan Ainon (1997), menyatakan bahawa kepemimpinan ialah sejenis tingkah laku bertujuan untuk mempengaruhi orang lain supaya mereka sanggup dan secara sukarela melakukan apa yang dikehendaki oleh orang yang memimpin. Para pemimpin ialah orang yang mempunyai keupayaan menolong orang lain supaya patuh dengan secara rela hati, iaitu tanpa tekanan dan paksaan. Menurut Robiah (1988), kepemimpinan ialah mengenai usaha untuk membimbing tenaga di dalam sesuatu kumpulan. Ia berfungsi sebagai asas tindakan di kalangan anggota-anggota membimbing kegiatan mereka dan mempengaruhinya bagi memenuhi matlamat tertentu. Wan Mohd Zahid (1993), menyatakan bahawa kepemimpinan adalah kebolehan untuk mendorong manusia berusaha dengan penuh keghairahan bagi mencapai matlamat yang telah dikenal pasti. Zaidatol Akmaliah (1993), berpendapat bahawa kepemimpinan merupakan satu proses mempengaruhi orang lain melakukan sesuatu yang dikehendaki.

Kepemimpinan ialah kemampuan mempengaruhi minda dan gelagat anggota organisasi untuk mencapai tujuan organisasi melalui struktur dan prosedur baru. Pada kebiasaannya seseorang pemimpin menggunakan hanya teknik pengaruh yang tidak ada unsur paksa. Penggunaan pengaruh tanpa unsur paksaan ini membawa kepada hubungan yang positif di antara pemimpin dan pengikut. Ini bermakna bahawa subordinat menerima pengaruh daripada pemimpin kerana mereka menghormati, menyukai atau mengagungi pemimpin tersebut.

Konsep pemimpin atau pemimpin pendidikan yang digunakan dalam penyelidikan ini ialah proses menolong atau mengarah kumpulan untuk mencapai matlamat dan objektif khasnya sekolah. Ia juga merupakan aktiviti, inisiatif atau prosedur untuk menyelesaikan masalah kumpulan dan ahlinya. Seseorang pemimpin yang mempunyai status dan kedudukan rasmi mesti mempunyai minat dan hasrat untuk memimpin kumpulannya. Begitu juga pengetua sebagai pemimpin sekolah mesti mempunyai minat, visi dan matlamat bagi memimpin guru-guru untuk mencapai matlamat sekolah dan negara.

Rallis dan Highsmith (1986) telah menyatakan bahawa kepemimpinan pengajaran ialah kepemimpinan yang berwawasan dan berdaya maju. Mereka telah mengariskan fungsi kepemimpinan pengajaran sebagai:

(i) model yang berperanan bagi menjana visi dan idea kepada tindakan
 
(ii) pemimpin yang meransang guru-gurunya untuk mencapai kecemerlangan
 
(iii) pemimpin yang membantu guru-guru menjadi pembuat keputusan yang bijak (mengenal pasti dan menyelesaikan masalah) dan memberi tunjuk ajar dalam hal-hal pengajaran.
 
(iv) menggunakan sumber dan mengenal pasti sumber yang ada dan menggunakannya dengan secara efektif.
 
(v) meningkatkan iklim sekolah dan mengekalkan kemudahan serta memajukan proses pengajaran, dan
 
(vi) memeta dan mewujudkan struktur organisasi dan mekanisme untuk memajukan pengajaran dikalangan guru.

Manakala Reitzug dan Cross (1993) telah membincangkan amalan kepemimpinan pengajaran iaitu menggalakkan guru menyuarakan pendapat tentang kesulitan-kesulitan semasa pengajaran, sebagai fasilitator dalam menyelesaikan kesulitan-kesulitan tersebut dan memberi penghargaan kepada para guru.

National Association of Secondary School Principal (NASSP) telah menyenaraikan ciri-ciri kepemimpinan pengajaran yang berkesan dalam “Handbook on Effective Instructional Leadership”. Ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:

(i) berkeyakinan dan menaruh sepenuh kepercayaan serta pengharapan yang tinggi terhadap para guru dan kakitangan sekolah
 
(ii) menghabiskan sebahagian besar waktu kerja bersama guru-guru berbincang, membantu dan mendorong mereka bagi memajukan program pembelajaran dan pengajaran
 
(iii) berusaha mengesan dan mengenal pasti masalah-masalah dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan
 
(iv) terlibat secara langsung bagi mempastikan iklim serta budaya sekolah dapat mempengaruhi guru ke arah mencapai matlamat sekolah yang telah ditetapkan.

            Justeru itu, sebagai pemimpin sekolah tanpa perlu menggunakan kuasa dan kedudukan. Pengetua perlu mempunyai wawasan yang jauh didalam membangunkan kecemerlangan sekolah.  Wawasan adalah impian dalam tindakan (a dream in action). Wawasan pengetua atau tidak dapat direalitikan tanpa penglibatan komuniti sekolah secara menyeluruh. Stolp (1999) “A vision for creating a healthy school culture should be a collaborative activity among students, parents, staff, and the principals” (dalam ERIC Digest, Number 91). Agar perkongsian wawasan menjadi satu kenyataan, maka pengetua haruslah mempunyai wawasan yang baik. Secara amnya, wawasan yang baik harus mempunyai ciri-ciri berikut:

(1) Digerakkan oleh pemimpin (Leader Initiated) dan ini menuntut pengetua dan guru besar mempunyai kualiti kepemimpinan yang berkesan.
 
(2) Dikongsi dan disokong (Shared & Supported) iaitu mewujudkan pasukan sokongan dan komuniti berwawasan.
 
(3) Komprehensif dan terperinci (Comprehensive & Detail) iaitu tahu dan faham secara mendalam apa dan bagaimana wawasan tersebut hendak dicapai.
 
(4) Positif dan memberi dorongan (Positive & Inspiring) iaitu impian yang dapat merangsang dan memberi keyakinan kepada orang lain untuk turut serta mencapai wawasan.

            Pengetua yang berkesan sentiasa berusaha untuk melengkapkan dirinya dengan pelbagai ilmu kepimpinan kerana sekolah sebagai suatu sistem sosial terbuka terdedah kepada pelbagai pengaruh. Kepimpinan berkesan akan memastikan sekolah mencapai matlamatnya. Kesannya, pelbagai perubahan positif dan menggalakkan akan berlaku di sekolah.

No comments:

Post a Comment